Categories
AGENDA NASIONAL

LRA Sungai Langat, Langat 2 operasi sepenuhnya, bekalan dijangka pulih Rabu ini

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Sg Langat dan LRA Langat 2 telah kembali beroperasi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam, Rabu ini (22 Dis).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan setakat 4 petang ini LRA Sg Langat dan LRA Langat 2 telah memulakan operasi sepenuhnya manakala bagi LRA Cheras Batu 11 proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” menurut Air Selangor menerusi kenyataan petang ini.

Air Selangor turut memaklumkan bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Semalam dilaporkan beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang sejak Jumaat lalu.

Pengguna boleh merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh dilayari di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

– BERNAMA