Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

LUAS hantar makanan, sedia bot dan kenderaan pacuan empat roda

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 20 kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terlibat dalam operasi misi bantuan mangsa banjir di sekitar kawasan Sri Muda Seksyen 25, Seksyen 23, Seksyen 19 dan Kota Kemuning di sini.

Melalui Facebook, agensi itu memaklumkan anggota yang terlibat dalam operasi bermula 12 tengah malam Sabtu lalu membantu dari segi penghantaran bekalan makanan serta logistik mengeluarkan mangsa banjir ke pusat penempatan sementara.

“Selain itu mereka turut membantu membawa keluar jenazah penduduk di Seksyen 19 dipercayai akibat lemas. Operasi itu berakhir pada jam 12 pagi hari ini,” katanya.

LUAS menambah operasi dua hari itu turut membabitkan pihak berkuasa iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan polis bagi memindahkan penduduk termasuk kakitangannya yang terjejas.

Misi bantuan tersebut diteruskan hari ini ke kawasan Genting Sanyen dan Bukit Changgang Kuala Langat.

Anggota Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersedia dengan bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Shah Alam. Foto LUAS
Anggota Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersedia dengan bot bagi membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Shah Alam. Foto LUAS