Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan Najib bersalah seleweng dana SRC

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Panel itu bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang menurut peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan difailkan hari ini.

Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Prosiding hari ini dijalankan melalui sidang video berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdul Karim berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila memutuskan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Hakim Abdul Karim berkata pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara.

“Dalam kes CBT, bukti menunjukkan Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat pengarah dan bukti juga menunjukkan pengarah SRC mengikut arahan Najib,” katanya.

Hakim Abdul Karim selanjutnya berkata panel itu juga bersetuju bahawa kesalahan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat kesimpulan yang betul bahawa Najib sememangnya pengarah bayangan SRC dan mengawal SRC dan juga menunjukkan bahawa pengarah dilantik oleh Najib dan beliau menandatangani surat pelantikan mereka.

“Najib adalah individu yang mengarahkan SRC dan mengambil alih syarikat itu,” kata Hakim Abdul Karim sambil menambah bahawa keterangan menunjukkan Najib mengarahkan dan mengawal SRC yang ketika itu beliau merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta Pengarah SRC.

Beliau berkata panel itu juga bersetuju bahawa Najib tidak bertindak sebagai pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) apabila beliau menguruskan syarikat itu (SRC).

Hakim selanjutnya berkata Najib tidak bertindak dalam skop wakil MoF Inc tetapi lebih seperti pengarah bayangan SRC yang berkuasa memberi arahan dalam operasi hariannya.

“Najib tahu bahawa RM42 juta itu datangnya daripada SRC dan tiada bukti menunjukkan bahawa RM42 juta itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

– BERNAMA