Categories
AGENDA NASIONAL

Mahu jadi lelaki matang dorong kanak-kanak lapan tahun berkhatan

KELANA JAYA, 5 DIS: Kemahuan menjadi lelaki matang mendorong seorang kanak-kanak berkhatan pada usia lapan tahun meskipun dibelenggu rasa gemuruh.

Azfar Fayyadh Mohd Azhar mendapat suntikan semangat daripada bapanya, Mohd Azhar Abdul Aziz, 38, sehingga membuat dirinya lebih yakin untuk menunaikan tuntutan sunah itu.

Mohd Azhar Abdul Aziz

Mohd Azhar berkata anaknya yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana teruja kerana berpeluang dikhatankan beramai-ramai bersama rakan sebayanya hari ini selepas mendaftar minggu lalu.

“Saya maklumkan kepadanya yang dia perlu bersunat minggu depan (hari ini) dan dia rasa seronok. Dia juga beritahu nak sunat cepat-cepat sebab nak jadi lelaki dewasa.

“Sebagai bapa, saya beri kata-kata semangat supaya dia yakin walaupun daripada raut wajah kelihatan sedikit takut. Saya berharap agar dia cepat sembuh selepas berkhatan,” katanya ditemui di Hotel Tabung Haji (TH) di sini.

Mohd Azim Mohd Sabri

Sementara itu, bagi Mohd Azim Mohd Sabir, 35, hasrat untuk melihat anaknya, Muhammad Azmi Irffan, 10, berkhatan akhirnya tercapai selepas setahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Bapa tiga cahaya mata itu berkata biarpun anak sulungnya terpaksa dipujuk isteri pagi tadi, namun dia bersyukur kerana proses berkhatan berjalan lancar.

“Saya rancang untuk sunatkan semasa dia darjah tiga lagi, tetapi tertangguh. Secara kebetulan sepupu maklumkan YB (Halimey Abu Bakar) anjurkan program sebegini, jadi saya manfaatkan peluang ini.

“Sejujurnya, anak saya tidak tahu apa konsep berkhatan. Saya cuma beritahu dia benda asas iaitu untuk membuang kekotoran dan dia sekadar mengiyakan sahaja,” katanya.

Terdahulu, seramai 60 kanak-kanak sekitar Seri Setia menyertai program berkhatan perdana anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan kerjasama TH Selangor.

Program bermula jam 8 pagi membabitkan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 12 tahun dan kesemua mereka diarak dengan paluan kompang dari pekarangan hotel sebelum menjalani proses itu.