Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih barang dapur, manfaat 387 penduduk sekitar Petaling

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan bernilai RM38,700 bagi membantu penduduk terputus pendapatan di sekitar Petaling.

Pek berupa beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100 setiap satu memanfaatkan seramai 387 penduduk di kawasan terbabit, maklum agensi itu.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pembayar fidyah budiman. Semoga sumbangan diberikan dapat membantu meringankan bebanan mereka semua,” maklum agensi itu di Facebook.

Menurut Mais, agihan itu dibuat melalui Rakan Strategik Agihan Fidyah terdiri Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia.

Agensi itu turut menyeru orang ramai yang belum menunaikan kewajipan membayar fidyah supaya berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.