KLANG, 26 DIS: Bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri untuk keluarga mangsa banjir dapat menampung perbelanjaan menggantikan sebahagian barangan yang rosak.
Chua Thai Thiam, 51, berkata barangan pertama yang akan dibelinya selepas menerima bantuan adalah mesin basuh kerana terlalu banyak pakaian perlu dicuci.
“Setakat sekarang basuh guna tangan nak hantar ke dobi duit pun dah habis kerana saya sudah tidak lagi bekerja kerana sakit angin ahmar.
“Terima kasih Kerajaan Negeri bagi bantuan tunai RM1,000, sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Taman Sentosa, Klang semalam.
Sementara itu, suri rumah S Bathmavathy, 38, tidak menyangka ada pengecualian pembayaran bil air kepada mangsa banjir untuk bulan ini.
“Risau juga bil air bulan ini mesti naik beratus ringgit kerana digunakan untuk mencuci rumah sepanjang minggu ini.
“Terima kasih Kerajaan Selangor, saya ingat bantuan RM1,000 sahaja rupanya ada bantuan lain lagi,” katanya.