Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mangsa banjir negeri dapat dapur masak, tong gas

SHAH ALAM, 28 DIS: Dapur dan tong gas antara alatan disumbang Kerajaan Selangor kepada mangsa banjir di seluruh negeri, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui inisiatif Selangor Bangkit itu adalah keperluan asas untuk mangsa meneruskan kehidupan.

“Pemberian disekalikan dengan bantuan RM1,000 di samping beberapa sumbangan lain. Semalam, Malaysian Resources Corporation Bhd menyumbang 1,000 dapur gas.

“Kita menerima apa sahaja sumbangan daripada pihak lain,” katanya pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri semalam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir dengan Amirudin menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref: Tabung Ikhtiar).