Categories
AGENDA NASIONAL

Mardi tawar khidmat analisis lebih murah banding makmal swasta

SERDANG, 7 DIS: Makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) MARDILab, menawarkan perkhidmatan analisis berasaskan makanan dan pertanian yang boleh dimanfaatkan usahawan pada harga 40 peratus lebih rendah berbanding makmal swasta.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata MARDILab di Serdang menawarkan 130 jenis analisis meliputi Analisis Kimia Makanan, Analisis Mikrobiologi Makanan dan Analisis Kimia Pertanian.

Analisis Kimia Makanan melibatkan analisis seperti jumlah kalori, gula dan kandungan vitamin, Analisis Mikrobiologi Makanan seperti hitungan yis dan kulat, kehadiran bakteria E coli, salmonella dan bacillus cereus; manakala Analisis Kimia Pertanian untuk mengesan kehadiran unsur major, surih dan berat.

Menurutnya, MARDILab di Serdang telah dianugerahkan Laboratory Excellence Award oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) dan meletakkannya setaraf dengan makmal sektor korporat di Malaysia dari segi keupayaan perkhidmatan analisis.

“Caj yang kami kenakan murah dari makmal swasta kerana selaku agensi kerajaan Mardi juga ingin membantu para usahawan di luar sana yang baru menceburi bidang perniagaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohamad Zabawi berkata MARDILab di Serdang mengendalikan kira-kira 16,000 hingga 20,000 analisis setahun yang didukung kepakaran sembilan ahli kimia selain peralatan dan teknologi terkini.

“Sampel-sampel yang dihantar untuk diuji di MARDILab Serdang dipastikan siap dianalisis antara tujuh ke 30 hari,” katanya makmal itu turut menawarkan diskaun tambahan sekiranya kuantiti analisis yang dijalankan adalah banyak.

Mohamad Zabawi berkata objektif penubuhan MARDILab adalah untuk menawarkan perkhidmatan analisis produk makanan dan pertanian berdasarkan piawaian atau standard yang digariskan seperti Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan ketetapan lain.

“Ini penting agar produk makanan dan hasil pertanian memenuhi piawaian bagi keperluan pasaran tempatan dan global,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Mardi merangkul dua anugerah IKM Awards 2020/2021 sempena Malam Kimia dan Penyampaian Anugerah IKM 2020/2021 yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selain Anugerah Laboratory Excellence Award, Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Dr Khalisanni Khalid turut merangkul Anugerah IKM Outstanding Young Chemist Award 2021 (Industri).

Sementara itu, Khalisanni yang berkepakaran dalam bidang kimia fizikal organik, teknologi surfaktan dan nanoteknologi serta mempunyai tujuh harta intelek dan satu teknologi bagi kegunaan awam, berkata anugerah yang diterimanya membuktikan kepakaran ahli-ahli kimia di Mardi.

Teknologi awam yang dihasilkannya telah berjaya memeterai memorandum persefahaman untuk dikomersialkan kepada KPG Resources Sdn Bhd bagi penghasilan dan pengubahsuaian baja nano, dan Hanania Agrotech Sdn Bhd bagi teknologi pemprosesan burger cendawan yang dihasilkan daripada cendawan tiram kelabu.

– BERNAMA