Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB anggar minimum 30,000 individu dapat bantuan bah RM1,000

SHAH ALAM, 29 DIS: Sekurang-kurangnya 30,000 individu yang terjejas banjir di negeri ini akan menerima manfaat RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi meringankan beban mereka diagih mulai semalam di sekitar Petaling dan diteruskan hari ini.

“Agihan diteruskan ke seluruh daerah secara berperingkat, kemudian selepas habis agih di pusat pemindahan sementara (PPS) kita akan kenal pasti mereka yang tidak berpindah,” katanya.

Bercakap dalam temu bual bersama radio Hot FM pagi ini, beliau menambah skop bantuan diperluas membabitkan kediaman bertingkat seperti pangsapuri yang turut mengalami kerosakan harta benda.

Amirudin turut memaklumkan mangsa banjir akan menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM600 sumbangan Lembaga Zakat Selangor untuk keluarga beragama Islam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari depan.