SHAH ALAM, 19 DIS: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa bagi membantu mangsa banjir termasuk sebuah keluarga yang baru kelahiran anak di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Seksyen 23 di sini malam ini.
Dato’ Amirudin Shari juga membantu beberapa warga emas yang terperangkap di kawasan berkenaan bersama anggota pasukan keselamatan sepanjang empat jam sejak 5.30 petang menyertai operasi menyelamat.
“Saya berada di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda selama empat jam membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas antaranya sebuah keluarga yang mempunyai anak yang baru lahir serta warga emas,” katanya di Twitter malam ini.
Amirudin juga menegaskan proses penyelamatan tetap diteruskan malam ini bagi memindahkan semua mangsa yang terkandas di situ.
Beliau mengakui usaha menyelamat penduduk berdepan cabaran suasana gelap dan air belum surut selain kereta terbengkalai juga menyukarkan pergerakan bot menyelamat.
“”Proses penyelamatan akan diteruskan malam ini bagi mengeluarkan semua mangsa yang terkandas,” katanya lagi.
Saya berada di SK Taman Sri Muda selama 4 jam membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas antaranya sebuah keluarga yang mempunyai anak yang baru lahir serta warga emas. Proses penyelamatan akan diteruskan malam ini bagi mengeluarkan semua mangsa yang terkandas. #DaruratBanjir pic.twitter.com/RSLZsu7ute
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) December 19, 2021