Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Bantuan RM1,000 untuk mangsa banjir diberi secepat mungkin

KLANG, 25 DIS: Bantuan RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir di negeri ini akan diberi secepat mungkin, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mangsa akan memperoleh bantuan itu dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman yang dibuat beliau pada Selasa lalu.

“Isnin ini kita akan beri tumpuan kepada usaha pengumpulan data mangsa, kita akan cuba secepat mungkin.

“Proses ini mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan puluhan ribu mangsa di seluruh Selangor. Kita akan beri secepat mungkin sama ada secara tunai atau terus ke akaun bank mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Taman Maznah dan Taman Sentosa di sini hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah, minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, Amirudin berkata peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Katanya, sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.