Categories
AGAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Bertemu lebih kerap bersama agensi, pantau situasi terkini Covid-19

GOMBAK, 4 DIS: Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan khas lebih kerap bersama agensi berkaitan bermula minggu depan bagi memantau perkembangan terkini jangkitan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting susulan perebakan wabak di sekolah sejak kebelakangan selain penemuan varian membimbangkan (VOC) Omicron di negara ini.

“Sekarang ada penularan baharu di sekolah dan pendaratan (kes) Omicron di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang belajar di sini (Malaysia).

“Jadi, mulai minggu depan kita akan panggil semula (agensi) dengan lebih kerap bagi meneliti dan memantau situasi ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan, Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua mengingatkan masyarakat terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga tingkah laku berikutan wabak masih ada di sekeliling.

“Pengajaran besar ketika Covid-19 ialah kita tak boleh kawal (Covid-19), hanya berharap kepada doktor dan pegawai kesihatan di klinik serta hospital (tetapi) sesama kita juga harus kawal tingkah laku dan sikap.

“Walaupun isu Covid-19 sudah reda, sekarang kita dengar ada pula varian baharu datang. Jadi, semua kena hati-hati bagi mengelak terkena jangkitan,” katanya.

Semalam, menteri kesihatan memaklumkan kes pertama Omicron dikesan di negara ini melibatkan seorang penuntut antarabangsa yang belajar di Ipoh, Perak.

Khairy Jamaluddin berkata pelajar berusia 19 tahun itu yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November menjalani ujian RT-PCR Covid-19 di KLIA.

Selain itu, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarah tutup berikutan 135 kes baharu Covid-19 dikesan membabitkan warga sekolah.