Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB harap Putrajaya bangunkan ECRL jajaran selatan pada masa depan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kerajaan Selangor berharap kerajaan persekutuan memperhalusi permintaan agar Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran selatan dapat dibangunkan pada masa hadapan.

Pelan jajaran selatan bermula dari Mentakab, Pahang, Kuala  Klawang, Negeri Sembilan, Nilai ke Putrajaya sebelum disambung ke Selangor membabitkan laluan Jenjarom, Kuala Langat ke Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun ia bukan satu prasyarat kepada sokongan Kerajaan Negeri terhadap jajaran utara tetapi pihaknya berbesar hati jika Putrajaya dapat perhalusi beberapa komponen tertentu.

“Kerajaan Negeri berhasrat menghasilkan situasi menang-menang dalam isu jajaran ECRL di Seksyen C, kami amat berbesar hati sekiranya kerajaan persekutuan memberi kesinambungan projek ECRL di jajaran selatan ini dalam pelan pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Projek ECRL dan Pertukaran Dokumen Laluan Seksyen C (jajaran utara) antara Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) semalam.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga mahu kerajaan persekutuan meneliti keputusan membangunkan kawasan sekitar Pulau Carey yang amat berpotensi dijadikan sebagai hab logistik di Selangor.

“Kerajaan Negeri berharap satu jawatankuasa pembangunan bersama Pulau Carey turut dapat ditubuhkan agar hasrat menjadikan lokasi itu sebagai hab logistik terbesar dapat direalisasikan.

“Perkara ini juga bagi memperkukuhkan pelan persekutuan dan pelan Kerajaan Negeri dalam memastikan kewujudan rangkaian pelabuhan kita agar kekal sebagai pelabuhan tarikan di peringkat dunia,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu Putrajaya mempertimbang ketersambungan rangkaian rel di Lembah Klang dan Selangor dengan mengambil kira cadangan perkhidmatan laluan LRT antara Putra Heights dan Selangor Business Capital di Cyberjaya yang kini giat dirancang di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kita harap pelaksanaan projek ECRL juga dapat dipantau secara bersepadu dalam satu Jawatankuasa Khas Bersama Pelaksanaan Projek Jajaran Utara ECRL Selangor yang dianggotai oleh Kerajaan Negeri dan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata kos pembinaan projek ECRL kekal RM50.27 bilion meskipun selepas kerajaan Selangor meluluskan cadangan Jajaran Utara Seksyen C.

Katanya, jumlah itu melibatkan pembinaan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) menggunakan dua jentera pengorek terowong canggih serta terowong Serendah sejauh 14.1 km menggunakan kaedah letupan dan gerudi.

Ka Siong berkata, persetujuan kerajaan Selangor itu akan memuktamadkan pembinaan ECRL sejauh 665 kilometer melibatkan 59 terowong serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhannya 127 kilometer.

Semalam, Selangor bersetuju menerima cadangan jajaran utara ECRL dan meluluskan jajaran Seksyen C melibatkan Mentakab ke Gombak dan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

Oktober lalu, Amirudin menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Kuala Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.