Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB santuni warga Sungai Tua, agih bantuan sekolah

GOMBAK, 4 DIS: Kesibukan tugas tidak menghalang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang bertemu penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini.

Beliau yang juga wakil rakyat di situ memulakan jelajah dengan menyerahkan bantuan persekolahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves.

Dalam majlis itu, seramai 2,157 ahli yang lahir pada 2015 dan bakal memasuki darjah satu menerima beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Amirudin turut melancarkan Kelab Motosikal Helang selain meninjau aktiviti Team Selangor antaranya simulator motosikal, pameran agensi kerajaan, klinik asas bola sepak dan permainan dalam talian.

Beliau kemudian menghadiri mesyuarat agung tahunan kali keenam bersama penduduk Pangsapuri Lakeview, yang antara lain membincangkan penambahbaikan sejak Oktober tahun lalu.

Usai pertemuan itu, Amirudin menghadiri majlis jasamu dikenang anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Tua Baharu di Hotel RHR Selayang.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil dan elaun mesyuarat kepada pengerusi MPKK Mejar Bersara Ramli Jamaludin, 78, yang akan bersara akhir bulan ini termasuk 13 ahli jawatankuasa.