Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau kawasan tanah runtuh kampung Orang Asli, hantar pasukan bantuan

HULU LANGAT, 29 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba di lokasi menunggang motosikal diberikan taklimat oleh bomba berhubung situasi terkini keadaan di kawasan tersebut.

Beliau turut menghantar sukarelawan pendaki dan anggota bomba terlibat untuk mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan akibat banjir .

Amirudin ketika berucap memaklumkan bantuan tersebut adalah sesi kedua untuk mangsa banjir di perkampungan tersebut.

“Kerajaan Negeri dan unit bencana mengucapkan terima kasih atas komitmen diberikan. Kita faham untuk sampai ke tempat itu mempunyai lebih 20 ke 30 ‘check point’ tanah runtuh.

“Saya harap sukarelawan terlibat terus berhati-hati kerana risiko masih ada berikutan struktur tanah masih lembut. Ini bukan misi kemanusiaan sahaja tetapi faktor keselamatan perlu dijaga untuk elak kemalangan,” katanya.

Amirudin melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.