Categories
PBT SELANGOR

MBSA, MPKj buka kaunter bergerak untuk kutipan cukai, kompaun

SHAH ALAM, 2 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka kaunter bergerak hujung minggu ini bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membayar cukai taksiran, cukai pintu serta kompaun.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulakan program pada Sabtu di pekarangan parkir Plaza Shah Alam, Seksyen 9 mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

Manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membuka kaunter pada Ahad sempena program Komuniti Ceria dari jam 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian.

Tumpuan MBSA meliputi kempen pengurangan kompaun parkir serendah RM 10 dan diskaun 70 peratus bagi Undang-Undang Kecil (UUK) Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman 2005 dan UUK Vandalisme 2005.

Turut ditawarkan diskaun ialah UUK Establisyemen Makanan 2007, UUK Pengendali Makanan 2007, UUK Iklan 2007, UUK Penjaja 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar 2007.