Categories
AGENDA SUKANKINI

MBSJ kutip mata penuh, FC Swat kejutkan UiTM FC

SHAH ALAM, 7 DIS: MBSJ FC meneruskan rentak kemenangan apabila mudah menewaskan Leopard FC 3-0 dalam perlawanan kedua Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong di sini pada 6 Disember.

Tiga jaringan pada babak pertama menerusi Nur Afrina, Steffi Sarge Kaur manakala Fatin Shahidah pada babak kedua sudah cukup untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai pendahulu kumpulan B.

Dalam satu lagi aksi kumpulan sama, NSW FC yang bermain kali pertama tidak berdepan masalah menumbangkan SA United 3-0 untuk menduduki tangga kedua.

Dua gol NSW FC disumbangkan Henrietta pada minit ke 31 dan 49 manakala satu daripada Malini bagi melengkapkan derita SA United yang melepaskan sembilan jaringan selepas dua perlawanan.

Pasukan MBSJ FC meneruskan rentak kemenangan apabila mudah menewaskan Leopard FC 3-0 dalam perlawanan kedua Liga Super Wanita FAS pada 6 Disember 2021. Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Selangor

NSW FC akan bertemu Leopard FC manakala MBSJ FC menentang Rhym Rovers dalam perlawanan ketiga pada 13 Disember.

Aksi kumpulan A turut pula menyaksikan FC Swat merampas kedudukan pendahulu selepas mengejutkan UiTM FC 1-2.

Meski UiTM FC cuba bangkit menerusi jaringan Ayuna Anjani pada babak kedua, namun dua gol babak pertama disumbangkan Siti Nabila dan Eva Oliviannie memadai untuk mereka mengutip tiga mata pertama.

Sementara itu, First 11 FC menebus kekecewaan perlawanan pertama dengan membelasah Radia Ladies 10-0 untuk naik ke tangga kedua.

Puteri Umi Sofea mempamerkan sentuhan berbisa apabila berjaya mencetak empat gol manakala Nur Mecca Rania dan Kanchen Kaur masing mencipta mencipta hatrik dalam perlawanan berkenaan.

Perlawanan ketiga kumpulan pada 13 Disember menyaksikan UiTM FC bertemu The Footsouls dan FC Swat menetang Radia Ladies FC.