Categories
AGENDA NASIONAL

Najib akan mengetahui nasibnya berhubung rayuan SRC hari ini

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya hari ini berhubung rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dijadualkan disampaikan melalui dalam talian pada 9 pagi, berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Difahamkan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram akan hadir dalam prosiding mahkamah terbuka itu.

Seramai 42 wartawan dari media tempatan dan asing telah diberi pas untuk mengikuti prosiding itu melalui pautan video di dewan persidangan dan 47 jurugambar dan jurukamera akan berada di lobi Istana Kehakiman untuk membuat liputan.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

– BERNAMA