Categories
EXCO SELANGOR

Negeri agih hampir RM650,000 santuni persatuan Kristian

SUBANG JAYA, 15 DIS: Sebanyak RM649,860 diagihkan kepada persatuan Kristian melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) Selangor.

EXCO berkenaan Hee Loy Sian berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM240,000 diberikan kepada tiga badan utama Kristian sempena sambutan hari Natal pada 25 Disember.

Sumbangan berjumlah RM80,000 setiap satu meliputi Gereja Katolik, Majlis Gereja Malaysia dan Persaudaraan Kristian Evangelikal Nasional Malaysia.

“Sebahagian peruntukan berjumlah RM311,860 turut diserah kepada 19 persatuan semalam, manakala baki sudah diagih sebelum ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Krismas peringkat negeri semalam.

Sambutan berlangsung di dewan Gereja Full Gospel Tabernacle di sini dihadiri kira-kira 150 tetamu yang turut dimeriahkan dengan persembahan muzik.

Sementara itu, Loy Sian memaklumkan Kerajaan Selangor sedang mengubah polisi tanah perkuburan untuk membantu pengurusan jenazah penganut bukan Islam yang berpendapatan rendah.

“Sebelum ini pihak swasta yang uruskan dan timbul isu bila rakyat tidak mampu bayar. Mereka terpaksa membayar harga tinggi mencecah ratusan ribu untuk pengebumian mayat.

“Jadi pada masa akan datang kita mahu majlis (pihak berkuasa tempatan) yang uruskan. Kita sama-sama jaga tanah kubur yang diberikan Kerajaan Negeri,” katanya.