Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri teliti tambah senarai barangan bawah skim harga maksimum

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor meneliti keperluan untuk menambah barangan dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebelum mencadangkannya kepada persekutuan.

EXCO industri halal berkata pemilihan produk berdasarkan permintaan tertinggi pengguna yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

“Kita akan memantau produk yang permintaannya tinggi dalam kalangan pengguna dan jika harganya didapati tidak terkawal, maka kita akan masukkan dalam senarai tersebut.

“Perkara ini akan diusulkan KPDNHEP kepada kerajaan persekutuan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni selepas melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mempertimbang untuk melanjutkan tempoh skim itu bergantung situasi semasa selain menggesa rakyat mengadukan kepada KPDNHEP jika berlaku kenaikan melampau.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa terutama pada hari perayaan dan cuti sekolah kerana permintaan produk makanan dan barang keperluan ketika itu agak tinggi,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pelaksanaan SHMKM di seluruh negara hingga 31 Disember bagi menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.