Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron menular pantas, risiko lebih tinggi jangkitan semula Covid-19

SHAH ALAM, 1 DIS: Maklumat diterima Kementerian Kesihatan setakat ini menunjukkan varian membimbangkan Omicron telah menular pada kadar yang lebih pantas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata, keadaan itu menunjukkan kemungkinan ia mudah merebak.

“Bukti awal menunjukkan varian ini juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula berbanding varian membimbangkan (VOC) lain.

“Varian ini disyaki telah berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun yang rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy menyebut, varian Omicron mempunyai banyak mutasi termasuk 26 hingga 32 mutasi di spike protein.

“Varian ini juga mempunyai 10 mutasi di protein yang melekat kepada penerima enzim pengubah angiotensin 2 (ACE2) yang membolehkan virus masuk ke dalam sel badan,” katanya.

Tambah Khairy, sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai tiga mutasi dan varian Delta mempunyai dua mutasi.

Sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).