Categories
AGENDA NASIONAL

Pakaian penuh lumpur akibat banjir, penduduk bawa 20 beg ke dobi

SHAH ALAM, 20 DIS: Seorang penduduk Kampung Melayu Subang di sini membawa 20 beg yang memuatkan pakaian kotor termasuk sebahagiannya berlumpur akibat banjir ke kedai dobi.

Mohd Yazid Zainal,33

Pemandu peribadi sebuah syarikat swasta Mohd Yazid Zainal, 33, juga terpaksa ke pusat bandar berikutan kebanyakan premis berdekatan yang menyediakan perkhidmatan itu penuh dengan individu senasib.

“Bukan takat perabot, kelengkapan rumah dan kereta yang rosak tetapi pakaian kami sekeluarga habis dipenuhi lumpur. Jadi, terpaksa cuci dobi layan diri walaupun agak jauh,” katanya kepada Selangorkini.

Suri rumah Nur Izni Zainal Abidin, 27, pula membawa empat beg memuatkan pakaian ahli keluarganya ke kedai perkhidmatan dobi di TTDI Jaya di sini.

“Masih ada lagi di rumah tapi selesaikan satu persatu sebab ada yang berlumpur dan kena bilas dulu,” katanya kepada Selangorkini.

Ibu kepada seorang anak itu juga terpaksa meminjam kereta kakaknya berikutan kenderaannya ditenggelami air.