Categories
AGENDA NASIONAL

Pameran Udara Selangor capai sasaran, rancang skala besar tahun depan

SHAH ALAM, 9 DIS: Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 yang julung kali diadakan November lalu merekodkan seramai 4,987 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.

EXCO Pelaburan dan Industri Dato’ Teng Chang Khim berkata jumlah itu menghampiri sasaran 5,000 pengunjung melibatkan pelaburan negeri sebanyak RM2.8 juta.

Beliau turut menganggap edisi pertama itu berjaya susulan pemeteraian 13 memorandum persefahaman (MoU) antara pelbagai pihak dengan subsektor industri aeroangkasa.

Antara yang terlibat ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Universiti Selangor, Sirim Berhad dan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).

“Perjanjian meliputi kerjasama pembangunan tenaga kerja vokasional, pembangunan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor, hab latihan simulator dan pusat MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih).

“Kerjasama antara MAHB dengan ExecuJet Aviation Group dengan pelaburan RM100 juta membuka peluang baik ke peringkat antarabangsa dan menjadikan Selangor sebagai pintu gerbang Asia,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media laporan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan SAS 2021 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.

Chang Khim berkata SAS edisi kedua pada September 2022 akan dilangsungkan dengan skala besar membabitkan lebih 10 negara antaranya Sepanyol, United Kingdom, Jepun, Korea, China, Rusia, Turki, Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis dan Brazil.

Bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’, SAS 2021 menerima penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara tersebut turut menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Antara pesawat dipamerkan ialah Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX.