Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Pasang lampu LED solar, langkah jaga kelestarian hijau

SEPANG, 18 DIS: Kerajaan Selangor bakal memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) solar secara berperingkat tahun hadapan bagi menjaga kelestarian teknologi hijau dalam sektor pembangunan.

EXCO kesejahteraan bandar berkata projek melibatkan belanja ratusan juta itu bermula dari kawasan bandar sebelum diperluas ke perkampungan dan desa.

“Kita juga pasang lampu ini pada bangunan yang mempunyai masalah pengurusan. Dengan penggunaannya juga dapat jimat 80 peratus bayaran elektrik.

“Dana dari peruntukan PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) dan Lembaga Perumahan sedang teliti lebih lanjut. Jadi Selangor bakal menjadi pelopor SDG (Matlamat Pembangunan Mampan),” kata Rodziah Ismail semalam.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan BBST Walk@Sepang dan Program Bebas Plastik di Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini.

Program dijalankan sempena sambutan ulang tahun ke-16 Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) turut dihadiri Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada Ogos mengingatkan kerajaan pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya melaksanakan agenda hijau untuk menarik pelaburan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perubahan iklkm atau kejadian bencana alam menyebabkan impak negatif terhadap ekonomi.