Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pastikan bantuan OKU sampai golongan sasar, ringan beban pasca Covid-19

SHAH ALAM, 4 DIS: Agensi yang mengurus peruntukan orang kurang upaya (OKU) diminta aktif bergerak mengesan golongan itu bagi memastikan kebajikan terjamin.

N Jensen. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

OKU lumpuh N Jenson, 33, berkata masih ramai insan senasibnya yang memerlukan bantuan namun tidak tahu saluran serta cara untuk mendapatkannya.

“Peruntukan tahun depan (Belanjawan Selangor 2022) diharap sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Cari lebih mendalam supaya nasib OKU terbela untuk kami meneruskan hidup.

“Saya akui inisiatif Kerajaan Selangor untuk OKU selama ini sangat banyak malah saya sendiri diberikan kursus dan dilatih sehingga mampu mendapatkan pekerjaan untuk sara hidup sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu Riza Hidayat Ruslan,40, berkata inisiatif Kerajaan Selangor meringankan bebannya untuk menyediakan kelengkapan anak istimewa Qiesya Dahlia yang berumur lapan tahun.

Riza Hidayat Ruslan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya amat alu-alukan jika ada bantuan untuk anak OKU terutama ketika pandemik Covid-19. Ekonomi keluarga terkesan dan saya diberi sumbangan lampin pakai buang serta susu.

“Program ANIS (Anak Istimewa Selangor) juga banyak membantu perkembangan Qeisya. Dia jadi lebih yakin untuk bergaul dengan individu normal,” katanya yang berharap bantuan OKU terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 minggu lalu Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan kepada OKU membabitkan latihan kemahiran kepada individu berusia 18 tahun ke atas di Pusat Kehidupan Berdikari yang diwujudkan dengan kos RM1 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan RM3 juta turut diberi bagi melaksanakan inisiatif membantu anak istimewa di bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi ANIS selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik ANIS.