Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelbagai bantuan silih berganti diterima penduduk Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 20 DIS: Episod duka di Taman Sri Muda yang dilanda banjir teruk sejak Sabtu lepas, mula menunjukkan sinar pada hari ketiga berikutan semakin ramai penduduk di kawasan berkenaan berjaya diselamatkan.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk di kawasan terbabit sudah mula keluar sendiri dari rumah mereka seawal 8 pagi tadi kerana paras air banjir yang kini di paras peha.

Namun, masih ada kawasan yang paras air mencapai ketinggian dada dan memerlukan bantuan bot bagi mengeluarkan mangsa terkandas, mendapatkan bekalan barangan dan bantuan yang disediakan di pengkalan menyelamat di Jambatan taman Sri Muda di sini.

Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK

Terpanggil untuk memberi bantuan, Khairol Norman Abdul Manap, 35, berkata dia menggunakan bot majikannya untuk membantu mengeluarkan mangsa banjir terkandas khususnya warga emas, kanak-kanak, bayi serta mereka yang sakit.

“Saya bersama rakan saya guna bot milik majikan di Kuala Selangor untuk selamatkan mereka yang terkandas. Alhamdulillah, sejak 7 petang semalam, lebih 40 trip sudah saya lakukan untuk selamatkan mereka yang terkandas.

“Letih memang ada tapi apabila dapat jumpa dan selamatkan orang dalam kesusahan, hati rasa lega,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata empat buah bot milik majikannya itu dibawa dari Kuala Selangor dengan menggunakan trak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang memberikan kerjasama sangat baik.

Wakil penduduk D’ Kayangan Seksyen 13, Ahmad Fadhil Zafri, 38, berkata rentetan banjir yang melanda Selangor pada 17 Dis lepas menyebabkan penduduk kawasan perumahan itu tergerak untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa di Taman Sri Muda hari ini.

Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK

“Kita tahu mereka sudah lama tidak dapat makanan, sudah tiga hari banjir dan terkandas. Jadi, kami buat inisiatif ini untuk salurkan bantuan walaupun jumlahnya tidaklah banyak,” katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati banyak bantuan daripada pihak keselamatan dan badan bukan kerajaan lain khususnya makanan datang tidak henti-henti di pengkalan menyelamat itu.

Sementara itu, bagi Mohd Shahrin Redzuan Mohd Roslan, 27, yang menetap di taman itu menganggap keadaan banjir di situ adalah yang terburuk sejak lebih 10 tahun lepas dengan bekalan elektrik terputus selain gangguan telekomunikasi.

Menceritakan keadaan banjir di rumahnya, dia berkata air sudah mencapai paras tingkat pertama yang memaksa dia, ibu serta seorang adik lelaki dan adik perempuannya untuk berpindah ke tingkat dua.

Anggota tentera menyelamatkan mangsa selepas rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam ditenggelami air pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia

“Kedua-dua kenderaan milik kami turut ditenggelami air. Rata-rata kawasan perumahan Taman Sri Muda mengalami perkara sama yang mana rumah ditenggelami air,” katanya.

S Suresh Kumar, 23, yang berkongsi pendapat sama turut menyifatkan bencana banjir itu sudah pasti menjadi kenangan terburuk buatnya dan keluarga.

Ditambah pula dengan adik lelakinya yang menghidap penyakit sawan serta perlu makan ubat mengikut masa ditetapkan, katanya.

-BERNAMA