Categories
BUDAYA RENCANA

Pembunuhan

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Aku terlihat suatu pembunuhan pada pukul 3:43 pagi. Tiada mayat. Tiada pembunuh. Hanya ada kematian. Aku tutup tingkap bilik dengan perlahan. Khuatir jika pembunuhan itu merebak ke dalam bilik. Dinihari pekat nihil. Aku patut masuk tidur.

Adakah mimpi dan tidurku turut terkorban dek pembunuhan itu? Wajarnya insomnia ini menjadi korbanan tetapi ia tidak berlaku.

Dalam gelap, aku memanjatkan doa agar tidak didatangi sesuatu yang ngeri. Ketidaktahuan itu mengerikan. Aku menyelimutkan diri dengan resah yang meresap ke dalam selimut.

Resah membawaku ke ruang tamu di tingkat bawah. Aku teringat pada catatan yang tertulis:

Dandelion Dawud sudah mati dibunuh ______.

Namaku D. Dawud. Dandelion Dawud. Catatan itu merupakan minda separa sedar penciptaku, Encik Hadri. Aku fikir dia kebuntuan dengan hidupnya selaku pengarang. Aku harus cari jalan supaya catatan itu tidak menjadi realiti. Aku sudah mendepani banyak kehilangan minggu ini. Seorang demi seorang ghaib. Objek demi objek yang melambangkan kewujudan setiap ahli keluargaku juga ghaib. Aku tidak tahu berapa lama struktur rumah ini boleh bertahan. Pokok pangkalnya, aku tidak boleh membiarkan takdirku berakhir begini.

Suatu nama tertera di dalam kepala yang aku kira boleh menyelamatkan keadaan.

Serena.

2.

Di rumah Serena, pembaca setia karya-karya Encik Hadri.

Engkau tanya kenapa aku berada di sini, Serena. Aku tidak berada di sini atau di mana-mana. Aku di dalam kepalamu, mungkin. Melihat rona bingungmu, aku tahu engkau mengenaliku. Engkau juga kenal penciptaku seperti aur dengan tebing layaknya. Cuma kini engkau menjauh. Engkau rasa dia sudah terlalu di atas sedangkan dia tidak pernah berada di mana-mana. Bawah? Atas? Depan? Belakang? Engkau silap. Dia tetap di mejanya yang usang itu. Kata-katanya mengering ibarat Laut Aral. Tiada gerimis ilham apatah lagi gemawan idea menaungi kata-katanya. Dia mahu mematahkan penanya. Tintanya sudah dicampak ke dinding – berkecai dan terdapat percik dakwat yang tidak dibasuh lantas mengering.

Seseorang sedang dibunuh dan engkau harus menghalangnya. Tidak, pembunuhnya tidak kelihatan bahkan tidak menggunakan sebarang senjata tajam pun. Engkau hanya perlu halang pembunuhan itu daripada berlaku dengan membantuku mencari pengarang cerita ini. Beritahu dia apa yang berlaku dan mungkin dia boleh berbuat sesuatu.

Di sini, engkau termangu melihatku seolah-olah aku berdelusi.

Akulah Dandelion Dawud. Ya, hero di dalam novel kesukaan engkau itu. Keluargaku bahagia di mana konflik sesama ahli keluarga sudah selesai di pengakhiran cerita. Antagonis sudah kecundang. Tetapi apa yang lebih teruk ialah duniaku sedang musnah. Seorang demi seorang ghaib meninggalkan memori yang menggunung dan menyeksa.

Andai kita pergi berdua mendepani Encik Hadri, pasti kita akan ketemu penyelesaiannya bukan?

Serena, kenapa? Tidakkah Encik Hadri memerlukan engkau sekarang?

3.

Aku tidak patut pergi ke rumah Encik Hadri. Dia tidak tahu apa-apa. Pengarang sudah menoktahkan novelnya dan riwayat buku itu sudah diserahkan kepada khalayak pembaca.

4.

Aku tinggalkan Serena di rumah Encik Hadri. Mereka boleh berbincang mengenai apa sahaja tetapi aku tidak lagi berminat mengenainya. Aku harus dapatkan buku yang tertulis kisahku dan menyimpannya sebelum setiap cetakan buku itu dihapuskan waktu. Mujurlah Encik Hadri ada menyimpan naskhah terakhir. Aku sorokkannya ke dalam kocek jaketku dengan niat mahu menyimpannya di dalam peti besi di rumahku.

Hanya dengan cara ini barulah aku dapat menghalang pembunuhan tanpa pembunuh dan mangsa. Namun begitu adakah ia berkesan? Aku tidak dapat mengetahuinya sebelum mencuba.

5.

Waktu. Adakah waktu itu dapat membunuh dengan pergerakan sehalanya? Ia hanya membawa beban dunia bersamanya. Dan karya yang menyimpan ceritaku akan tercicir daripada landasan. Justeru, waktu bukan pembunuh.

Aku sudah berada di rumah tetapi aku sedang melihat bumbungnya mendebu pantas. Lebur seperti dimamah api yang tidak kelihatan. Aku sedar, kisahku sedang hilang. Pembaca tidak membeli buku Hadri untuk dibaca tetapi disimpan di suatu sudut untuk dilupakan.

Aku harus mencari jalan supaya kisahku tidak lenyap daripada pengetahuan manusia. Aku harus kembali ke mana? Rumah Hadri? Serena? Apa jua perbualan mereka itu, aku tidak rasa ia dapat mengubah apa-apa.

Apakah pembunuhan tanpa mayat dan juga pembunuh dapat dihalang? Ia mustahil.

Aku berlari ke rumah Encik Hadri dengan harapan waktu masih bersisa untukku memintanya agar menghidupkan kembali kisahku yang hampir lenyap daripada pengetahuan manusia.

Aku dapat lihat kelibat Serena sedang melangkah keluar dari halaman rumah Encik Hadri. Aku dapat lihat senyumannya. Mungkin sesuatu sudah berlaku di antara mereka berdua. Aku harus pantas. Aku mahu tahu takdirku di dalam cerita yang terbuku itu. Mengapa sesudah kisahku dibukukan dan tersimpan elok di arkib dan rak-rak buku pembaca aku masih mendepani penghapusan?

Dunia sudah berubah. Hanya buku yang malar hijau akan terus wujud abadi. Manakala buku yang tidak popular dan gagal tiba kepada khalayaknya akan dilupakan.

Di suatu sudut, kisahku masih wujud tetapi tidak lagi diperkatakan. Dalam erti kata lain, ia dilupakan.

Serena tidak dapat melihatku ataupun mendengar suaraku walau bagaimana sekalipun aku berteriak tepat ke mukanya. Aku toleh ke rumah Encik Hadri dan aku menyedari ia sebuah rumah yang tidak pernah aku masuki.

Aku terlihat suatu pembunuhan pada pukul 3:43 pagi. Tiada mayat. Tiada pembunuh. Hanya ada kematian.