Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran bau catat sifar TON, LRA Semenyih kembali beroperasi

SHAH ALAM, 16 DIS: Tiga bacaan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat bau diesel telah mencatat sifar TON (nombor bau nilai ambang), menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata justeru itu, LRA berkenaan beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari tadi.

“Gangguan minimum segera pulih secara berperingkat. Terima kasih @luas_selangor dan @air_selangor yang tangani hal ini secara pantas.

“Ambil masa kurang empat jam untuk selesai,” tulis beliau di Twitter.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas hari ini susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih pagi semalam.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi Air Selangor.

Senarai kawasan terlibat dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.