Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk tidak jangka Bukit Lanchong boleh tenggelam, air naik mendadak

SHAH ALAM 21 DIS: Seorang pekerja kilang tidak menyangka rutinnya pulang dari tempat kerja awal pagi Sabtu lalu bertukar menjadi pengalaman paling mendebarkan dalam hidupnya.

Rosli Md. Ghani, 34, tidak pernah termimpi akan mengalami kejutan banjir besar yang menenggelamkan perumahan di Kampung Bukit Lanchong di sini.

Pagi itu kira-kira pukul 6.50 pagi, dia terkejut sebaik sampai di rumahnya di Lorong Ikan Sepat didapati air sudah naik ke paras buku lali.

Dalam keadaan hujan mencurah-curah, dia segera mengalihkan kereta di tempat tinggi lalu mengerahkan isteri dan empat anaknya untuk segera menyelamatkan diri.

“Hanya saya seorang penduduk di Lorong Ikan Sepat yang sempat alihkan kereta ke kawasan tinggi. Ramai tidak menyangka air naik naik setinggi paras bumbung dan segala barangan berharga dan dokumen penting gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Putra Height 2 semalam.

Pekerja kilang Rosli Md Ghani, 34 dari Kampung Bukit Lanchong ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Putra Height. Foto MUSTAKIM RAMLI/ SELANGORKINI

Kata Rosli sehingga kini dia tidak dibenarkan pulang ke rumah memandangkan banjir belum surut sepenuhnya.

Sementara itu, juruteknik Nazarudin Muhammad, 48, berkata pihak berkuasa masih belum membenarkannya pulang ke rumah.

“Saya tidak tahu macam mana keadaan di rumah sekarang. Ketika kejadian nasib baik ahli keluarga berada di kampung di Gemas, Negeri Sembilan,” katanya.

Jelasnya, dia berpindah dari Seksyen 28 ke Bukit Lanchong pada 1999 atas perkiraan lokasi perumahan tersebut bukan kawasan banjir.

Juruteknik Nazarudin Muhammad, 48 dari Kampung Bukit Lanchong ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Putra Height pada 20 Disember 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/ SELANGORKINI