Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Pfizer, AstraZeneca disaran ambil dos penggalak selepas tiga bulan

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan menyarankan individu yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca sekurang-kurangnya tiga bulan lalu mengambil dos penggalak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata suntikan dos penggalak disyorkan kepada golongan warga emas, dewasa dan mempunyai penyakit kronik.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan sebahagian penduduk mula menerima dos penggalak pada Januari dan Februari depan. Keutamaan janji temu suntikan dibuat mengikut turutan umur dan status kesihatan.

“Kita akan buka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata KKM mengutamakan dos penggalak jenis vaksin Pfizer dan Astrazeneca manakala jenis Sinovac diberikan jika individu berkenaan mempunyai masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, katanya hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak di United Kingdom menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

“Justeru, badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer,” katanya.