Categories
SELANGOR

Peniaga terjejas banjir lelong stok kasut, pakaian ditenggelami air

HULU LANGAT, 23 DIS: Peniaga terjejas banjir bercadang melelong stok kasut dan pakaian yang ditenggelami air dengan potongan harga sehingga 80 peratus.

Ivan Low, 50, pemilik kedai kasut di Taman Lagenda Suria di sini, berkata keputusan itu dibuat selepas memikirkan kerugian lebih RM70,000 akibat banjir.

“Air masuk kedai paras lutut. Kebetulan banyak stok kasut di rak bawah, hanya beberapa sahaja selamat kerana ada di rak sebelah atas.

“Banyak stok baharu seperti kasut sekolah dan Tahun Baharu Cina habis rosak. Kami cadang untuk cuci dan keringkan kemudian lelong pada harga murah,” katanya kepada Selangorkini.

Pemilik kedai Shilah Collections Rahazah Bedulah, 42, pula berharap lelongan pakaian dapat mengurangkan kerugian yang dianggar lebih RM40,000 akibat banjir

“Buka sahaja pintu kedai, terkejut lihat baju habis dipenuhi lumpur. Sedih tidak terkata. Mana yang boleh cuci, kami cuci dan lelongkan sahaja, ada terpaksa dibuang.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan daripada pengunjung yang kebanyakan penduduk setempat,” katanya.

Pakaian yang terpaksa dilelong oleh peniaga Rahazah Bedulah pemilik kedai Shilah Collections di Taman Lagenda Suria di Hulu Langat. 22 Disember 2022 Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI