Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Perincian warta semula hutan simpan dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 9 DIS: Perincian bagi pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata status terkini merangkumi pembahagian lokasi yang benar-benar terlibat yang sedang dikemas kini oleh beberapa agensi negeri.

“Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Jabatan Perhutanan Selangor perlu bentangkan perincian itu kepada Kerajaan Negeri yang dijangka Disember 2021,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung status terkini pewartaan HSKLU pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian memaklumkan sekitar 486.2 hektar daripada kawasan HSKLU lulus untuk diwartakan semula selepas mengambil kira keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Proses penyahwartaan HSKLU hanya seluas kira-kira 42 hektar bagi penyelesaian isu milikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas kira-kira 8.5 hektar,” katanya.

Pada 8 September, Kerajaan Selangor membatalkan keputusan untuk menyahwarta hutan simpan berkenaan kecuali bagi pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan MMKN juga memutuskan sebahagian kecil kawasan kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).