Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso salur RM629.2 juta bantu individu hilang kerja, pendapatan berkurang

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM629.2 juta menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) sejak awal 18 Mac 2020 sehingga 5 Nov lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata bantuan kewangan itu melibatkan tiga kategori iaitu elaun mencari pekerjaan sebanyak RM588.5 juta, elaun pendapatan berkurangan (RM6.9 juta) dan elaun bekerja semula awal (RM33.8 juta).

“Berdasarkan statistik SIP, bilangan permohonan faedah dari 18 Mac 2020 hingga 5 Nov 2021 adalah sebanyak 148,926 permohonan dan daripada jumlah itu, 119,500 permohonan telah diluluskan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu secara terperinci bilangan tuntutan dan jumlah pembayaran yang telah di bayar oleh Perkeso di bawah SIP.

Menurutnya negara merekodkan 55,742 kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 5 Nov lepas dan sebanyak RM324.6 juta telah diluluskan untuk pembayaran faedah kepada individu terlibat.

Sementara itu, beliau berkata hampir 90 peratus individu yang memohon melalui portal MYFurtureJobs telah mendapat pekerjaan.

Menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, Awang berkata Majlis Perundingan Gaji Negara telah melaksanakan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.

Katanya Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus melibatkan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosiokonomi negara.

“Proses kajian semula turut mengambil kira indikator-indikator sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup. Indikator-indikator sosioekonomi ini akan mencerminkan pasaran tenaga kerja semasa.

“Kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan kadar gaji minimum terhadap perusahan mikro, kecil dan sederhana. Oleh itu, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat dan mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Justeru, katanya Majlis Perundingan Gaji Negara yang bersidang pada 9 Dis lepas telah menyelesaikan perbincangan dan dalam proses penyediaan kertas Jemaah Menteri untuk dikemukakan bagi pertimbangan dan persetujuan.

— BERNAMA