Categories
AGENSI SELANGOR

Permohonan bantuan LZS kepada B40 dilanjut hingga 20 Disember

SHAH ALAM, 15 DIS: Permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dilanjut hingga 20 Disember.

Agensi berkata bantuan sekali bayar (one-off) itu dibuka kepada individu yang pertama kali ingin memohon dan juga untuk permohonan rayuan.

“Kami mengambil cakna dan prihatin pada mereka yang terlepas untuk memohon pada tempoh yang lalu.

“Suka untuk kami ingatkan kembali, bahawa permohonan ini adalah secara ‘one-off’ (sekali bayar) dan hanya terbuka kepada individu yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya di Facebook.

LZS sebelum ini memaklumkan permohonan menerusi http://www.zakatselangor.com.my yang dijangka memanfaatkan 15,000 keluarga ditutup pada 10 Disember.

Katanya, pemohon ZSP mestilah warganegara, menetap di negeri ini sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak berdaftar dalam senarai asnaf bawah agensi itu.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bawah ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.