Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pertandingan e-sukan, tradisional tarikan Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Pertandingan e-sukan PUBG dalam Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, menarik minat enam sahabat untuk hadir ke program berkenaan.

Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kelana Jaya Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan berkata dia bersama lima sahabat baik mempunyai minat sama dalam permainan video dalam talian itu.

“Permainan video antara tarikan utama selain berkunjung ke pameran pelbagai jenis buku ” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur turut mengadakan pertandingan sukan tradisional batu seremban dan congkak dengan tawaran wang tunai melebihi RM8,000.

Sementara itu penyelaras kokurikulum Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Darul Ehsan berkata kunjungan ke pesta buku itu menjadi acara tahunan sekolah sejak 2018.

Nur Ayuni Muhammad Azmi berkata pada tahun ini seramai 27 pelajar dari tingkatan satu hingga lima dibawa membeli peralatan dan keperluan sekolah.

Nur Ayuni Mihammad Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami gunakan kenderaan guru sahaja. Rugi rasanya jika tidak pergi kerana buku dijual pada harga murah dan banyak pilihan. Harap program seperti ini diteruskan tiap tahun,” katanya.

Bagi Siti Ruzila Abu Bakar,46, berkata dia membawa anak berusia enam hingga 15 tahun untuk membeli komik dan buku cerita.

“Saya bawa anak-anak ke pesta buku sebab di sini banyak ada macam-macam pilihan jenis buku dan ada diskaun” katanya.

Pesta buku berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember depan dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan. Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai salah satu daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.