Categories
SELANGOR

Pesara tentera maut dibunuh anak lelaki hidap sakit mental

CYBERJAYA, 6 DIS: Seorang pesara tentera meninggal dunia selepas dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dalam kejadian Rabu lepas di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, di Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 48 tahun itu, sedang mengamuk ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.

“Pihak polis kemudiannya menahan lelaki itu yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), di pekarangan rumah berkenaan.

“Mangsa, 73, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, dipercayai dipukul bertubi-tubi oleh suspek, selain cedera pada bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya dalam sidang media berkaitan Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata suspek dipercayai mengamuk kerana sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak hospital.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan suspek yang ditahan bersama senjata yang digunakan, sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

Tambahnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA