Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta Buku Selangor 2021 ubati kerinduan, tampil kelainan

SHAH ALAM, 6 DIS: Penganjuran Pesta Buku Selangor 2021 mengubat kerinduan peminat buku selepas hampir dua tahun ketiadaan program sama secara fizikal dan berskala besar akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Nur Fikri Mohd Rufie berkata sebagai peminat buku dia rindukan suasana memilih buku di pelbagai reruai dan mendengar perkongsian ilmu daripada personaliti tertentu.

Nur Fikri Mohd Rufie

“Saya mula hadir ke Pesta Buku Selangor pada 2018 namun tidak dianjurkan tahun lalu kerana Covid-19, sudah tentu teruja dapat datang hari ini (semalam).

“Banyak reruai menampilkan keunikan, meriah dan ikut tatacara operasi piawai,” kata guru berusia 26 tahun yang meminati buku falsafah tulisan tokoh pemikir Islam kurun ke-enam, Imam Al-Ghazali.

Nik Rania Safia Nik Saladin

Bagi pelajar perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Rania Safia Nik Saladin, 20, pesta buku itu memberi peluang kepada masyarakat bertemu penulis tersohor dan personaliti seperti bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Saya teruja hadir dan rambang juga mata melihat banyak koleksi buku,” katanya.

Pesta buku yang berlangsung selama 11 hari sejak Khamis menampilkan lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa berserta diskaun menarik selain dimeriahkan dengan 152 gerai jualan.

Bermula dari 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan ke 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, pesta itu juga menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian dan cabutan bertuah RM500 setiap hari.