Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PGA: Kenderaan tenggelam sukarkan usaha cari mangsa terkandas di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 21 DIS: Bilangan kenderaan yang banyak ditenggelami banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini antara cabaran yang dilalui anggota pasukan keselamatan ketika menjalankan operasi menyelamat pada waktu malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Superintendan Azhar Hashim berkata mereka perlu memastikan enjin bot mereka tidak tersangkut pada kenderaan tersebut.

“Apabila banjir berlaku banyak kenderaan tenggelam. Jadi, kita perlu pastikan tiada kenderaan di bawah (tenggelam) bagi melancarkan laluan bot menuju ke rumah mangsa.

“Jika enjin tersangkut pada kenderaan, ia akan menyukarkan operasi menyelamat, malah menjadi ancaman besar kepada kami,” katanya kepada Selangorkini.

Sekalipun berdepan masalah itu, Azhar berkata pihaknya berjaya mengeluarkan seramai 349 mangsa di kawasan berkenaan sejak Ahad hingga semalam.

Selain menyelamat, beliau berkata pihaknya juga mengagih makanan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu kepada mangsa.

“Kita sentiasa bersiap sedia membantu mereka yang terkesan walaupun di negeri lain terutama melibatkan bencana banjir dengan mengerahkan keanggotaan dan aset,” katanya.

Mereka yang dianggotai 140 anggota PGA dari Ulu Kinta, Kulim dan Bidor tiba di lokasi kejadian tengah hari (Ahad) bagi misi bantuan mangsa banjir di negeri ini.