Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Perjuangan Malaysia berakhir di tangan Garuda

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Malaysia ditunjukkan jalan keluar daripada Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 selepas tewas 1-4 di tangan musuh tradisi Indonesia, pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Keputusan itu menafikan impian skuad kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk mara ke peringkat separuh akhir, apabila menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan hanya mengumpul enam mata daripada empat perlawanan.

Ia juga menyaksikan pasukan negara gagal melepasi saingan kumpulan kejuaraan dwi tahunan itu buat kali kedua selepas edisi 2016 dalam enam penganjuran terakhir dan ia kekalahan ketiga Malaysia kepada Indonesia dalam lima pertemuan terakhir mereka di pentas Piala AFF.

Sementara kejayaan menewaskan skuad Harimau Malaya membolehkan Indonesia di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Shin Tae-yong, melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B dengan berkongsi 10 mata bersama Vietnam, yang terpaksa akur selaku naib juara kumpulan.

Pada pertembungan ‘hidup mati’ kedua-dua pasukan itu, Malaysia memulakan permainan berintensiti tinggi tersebut dengan cemerlang, apabila terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi rembatan dari luar kotak penalti M Kogileswaran Raj pada minit ke-13.

Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat di separuh akhir, tidak patah semangat sebaliknya rancak mengatur serangan ke kubu pertahanan negara yang tempang tanpa dua pertahanan tengah utama, iaitu kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad.

Ketiadaan dua tonggak itu diisi gandingan pemain kacukan Dion Cools dan Junior Eldstal yang dilihat gagal mencapai keserasian dan persefahaman yang baik, terutama di bahagian kiri bersama Muhammad Syahmi Safari.

Kepincangan itu dihidu skuad Garuda untuk meledak gol penyamaan menerusi Irfan Samaling Kumi pada minit ke-36, yang berpunca dari serangan balas selepas penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan buat Malaysia seminit sebelum itu.

Irfan Samaling sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring yang juga gol ketiganya pada kempen itu pada minit ke-43, apabila mudah menolak masuk bola yang melantun hasil percubaan Pratama Arhan Alif Rifai sekali gus kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe membuat keputusan ‘berani mati’ apabila mengarahkan Dion beraksi di bahagian serangan, untuk memberi laluan kepada Dominic Tan yang menggantikan pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang mengalami kecederaan pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun, semangat Malaysia untuk bangkit direntap seawal babak kedua, apabila Indonesia meledak jaringan ketiga pada minit ke-50 hasil rembatan dari luar kotak penalti Pratama Arhan, yang gagal diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Indonesia yang kali terakhir beraksi di separuh akhir pada edisi 2016 tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan tempo, sebaliknya terus mengasak memberi tekanan kepada Malaysia yang terus hilang arah, dalam usaha memburu keajaiban.

Pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid serta dua penyerang iaitu Guilherme De Paula dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dibawa masuk, namun tiada perbezaan ketara sebelum Indonesia melengkapkan malam gemilang menerusi gol keempat oleh pemain gantian Elkan William Tio Baggot pada minit ke-82.

Kemenangan itu juga menyaksikan Indonesia akhirnya melunaskan dendam dua kekalahan di tangan Malaysia pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan B, juara bertahan Vietnam membenam Kemboja 4-0 di Stadium Bishan, untuk mengiringi Indonesia ke separuh akhir.

Empat gol skuad Naga Emas itu masing-masing dijaringkan Nguyen Tien Linh pada minit ketiga, Nguyen Tien Linh (minit ke-27), Bui Tien Dung (minit ke-55) dan Nguyen Quang Hai pada minit ke-57.

Peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 menyaksikan Indonesia akan berdepan Singapura yang menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua sementara Vietnam akan membuat perhitungan berhadapan juara Kumpulan A Thailand dalam satu lagi aksi.

– BERNAMA