Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat pemilik kilang susulan pencemaran Sungai Semenyih

SEPANG, 17 DIS: Polis memanggil pemilik sebuah kilang jentera bagi membantu siasatan berhubung insiden pencemaran bau seakan-akan diesel pada muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Dengkil di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada pekerja Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 8.58 pagi semalam berhubung insiden bau itu.

Air Selangor membuat aduan polis selepas mengesan adanya aliran pencemaran disyaki di alur air yang memasuki Sungai Semenyih.

Pihak berkuasa seperti Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan mengesyaki pencemaran berpunca dari sebuah kilang, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya siasatan susulan oleh LUAS, Air Selangor dan polis ke premis kilang itu tidak menemukan sebarang pelepasan efluen namun, terdapat satu aliran bawah tanah yang disyaki mengeluarkan bahan buangan kelihatan seakan-akan minyak.

Md Noor Aehwan berkata unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah mengambil lima sampel air di laluan yang dinyatakan pengadu, di muka sauk LRA dan dari dalam premis kilang berkenaan.

“Sampel perbandingan yang diambil oleh pihak pengadu turut diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk perbandingan. Kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Md Noor Aehwan berkata keterangan turut diambil daripada pengadu, yang merupakan individu pertama yang mengesan punca bau abnormal itu.

Menurutnya pemilik kilang itu mendakwa premisnya tidak melepaskan sisa abnormal ke dalam Sungai Semenyih kerana ia mempunyai penapis dan merawat sisa buangan yang masuk ke dalam parit di luar premis.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran, katanya.

Berikutan insiden pencemaran bau diesel itu, sebanyak 463 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual semalam.

Air Selangor memaklumkan bahawa bekalan air di kesemua kawasan itu dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian dilaporkan berkata Majlis Perbandaran Sepang akan menyita sebuah premis kilang yang menyelenggara jentera berat kerana disyaki menjadi punca insiden pencemaran itu.

-BERNAMA