Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tawar diskaun saman trafik hingga 80 peratus dari 9 hingga 12 Disember

SHAH ALAM, 8 DIS: Polis menawarkan pengurangan kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minimum RM30 bermula esok hingga 12 Disember.

Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik berkata pengurangan itu adalah bersempena 100 hari aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata semua pembayaran boleh dibuat di kaunter polis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kaunter saman trafik ibu pejabat polis daerah dan kontinjen

Selain itu, katanya pembayaran boleh juga dilakukan di portal dan aplikasi mudah alih Mybayar Saman sepanjang tempoh empat hari tersebut.

“Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mat Kasim berkata, kesalahan yang turut tidak dikurangkan kompaun ialah memotong di garisan berkembar, kategorikan tidak boleh kompaun, berstatus perbicaraan, kesalahan kenderaan berat dan ubah suai ekzos

Katanya orang ramai, syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pautan https://[email protected].

Tambahnya orang ramai juga boleh muat turun aplikasi di Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei Appgallery bagi membuat pembayaran.

“Polis menyeru orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 semasa berurusan di kaunter pembayaran fizikal.

“Seterusnya (polis) menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian serta membantu orang ramai yang terkesan dalam situasi sukar pandemik,” katanya.