Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Program dos penggalak Bandar Utama, Balakong dapat sambutan dan kuota penuh

SHAH ALAM, 14 DIS: Sebanyak 3,000 kuota janji temu disediakan dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Booster Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama dan Balakong telah dipenuhi.

Dua wakil rakyat tersebut Wong Siew Ki (Balakong) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) menyediakan pendaftaran secara dalam talian untuk penduduk di kawasan masing-masing yang mahu mendapat dos penggalak jenis Sinovac disediakan Kerajaan Negeri.

Siew Ki berkata 1,000 kuota untuk penduduk Balakong penuh dalam tempoh dua jam selepas beliau mengumumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan menerusi siaran langsung di Facebooknya semalam.

“Saya umum jam 6.30 petang, dua jam selepas itu bila buka kembali Facebook saya terima 1,000 permohonan.

“Sambutan menggalakkan terutama daripada warga emas dan individu sebelum ini mendapat vaksin Sinovac, mereka mahu dos penggalak dari jenis sama,” katanya memaklumkan program Selvax Booster di kawasannya akan diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong Jumaat ini.

Jamaliah berkata pihaknya menerima 2,000 permohonan daripada penduduk yang mahu menyertai program Selvax Booster Bandar Utama di Starling Mall, Petaling Jaya pada 18 dan 19 Disember.

“Jumlah itu memenuhi sasaran kuota disediakan, bagaimanapun kami dalam proses meneliti semula permohonan untuk melihat sama ada berlaku permohonan berganda.

“Kami akan maklumkan di Facebook saya esok sekiranya ada kekosongan lagi,” katanya.

Pada 7 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).