KUALA LANGAT, 12 DIS: Program Rentak Selangor diperluaskan lagi tahun hadapan dengan mengetengahkan seni kebudayaan lain.
EXCO kebudayaan dan warisan berkata pihaknya tidak mahu memfokuskan seni kebudayaan dengan mengutamakan sesuatu aktiviti sahaja contohnya seperti tarian.
Borhan Aman Shah menjelaskan baru-baru ini pihaknya memperkenalkan tarian kuda kepang di Sabak Bernam dan tarian dabus di Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, tahun hadapan kita kembangkan lagi program Rentak Selangor dengan perkenal busana, makanan dan tempat bersejarah.
“Kita semua harus mengambil berat dan bertanggungjawab memastikan budaya Selangor kekal dan ada pewaris selain ditegakkan menjadi identiti negeri,” katanya.
Pada 4 Mac, Borhan memaklumakn Kerajaan Negeri mengadakan siri jelajah program Rentak Selangor yang menampilkan kepelbagaian persembahan seni dan budaya masyarakat.
Program berkenaan bakal merancakkan semula sektor pelancongan pascaperintah kawalan.
Siri jelajah itu turut menampilkan kampung atau daerah yang memiliki tapak seni dan budaya untuk tatapan generasi muda.