Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program RiDE tiada di negeri lain, harap timbang tambah kuota

SHAH ALAM, 9 DIS: Usaha Selangor meneruskan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dimanfaatkan penghantar makanan negeri ini berikutan sukar diperoleh di tempat lain.

Teruja mendengar inisiatif itu diteruskan tahun depan, Mohd Huzaimi Ab Rashid, 34, yang sudah dua tahun bekerja dengan syarikat penghantaran Grab Food tidak sabar memohon bantuan apabila dibuka kelak.

Mohd Huzaimi Ab Rashid

“Sebelum ini saya tidak pernah tahu berkenaan tawaran itu. Jadi, saya tidak akan mensia-siakan peluang untuk mohon bantuan memandangkan bukan mudah dapat RM500 di bawah RiDE.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana tidak meminggirkan penghantar makanan. Mereka sedar pendapatan kami tidak menentu selain sering berdepan risiko kemalangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamed Sabri Abdul Shukor, 29, yang menyambut baik pelaksanaan itu pula enggan melepaskan peluang memohon bantuan terbabit ekoran tidak sempat berbuat demikian tahun ini.

Mohamed Sabri Abdul Shukor

Bapa dua anak yang berkhidmat sepenuh masa dengan Shopee Food dan Grab Food sejak tujuh tahun lalu berharap banyak kuota disediakan supaya lebih ramai golongan sepertinya mendapat manfaat.

“Saya memang tahu mengenai inisiatif ini cuma tak sempat mohon. Apabila peluang diberikan sekali lagi, sudah pasti saya akan manfaatkan dan harap tak terlepas lagi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Atiq Ahmad Ridwan, 20, berkata inisiatif tersebut menyuntik semangat untuk terus berkhidmat sebagai penghantar makanan dan barangan.

Muhammad Atiq Ahmad Ridwan

“Walaupun saya baharu sebulan bekerja, bantuan ini semestinya dapat meringankan beban kerana bukan dilahirkan dalam keluarga senang.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu kedai makan, pendapatan tidak cukup untuk membantu ibu bapa dan sembilan adik beradik. Jadi, saya amat hargai jika dapat bantuan ini,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntukan RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.