Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Proses bantuan RM1,000 dipermudah, pastikan rakyat terjejas tidak terbeban

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan Negeri akan memastikan proses permohonan bantuan RM1,000 untuk keluarga mangsa banjir dipermudahkan supaya rakyat memperolehinya dengan segera.

“InsyaAllah kita akan permudahkan proses permohonan. Sedang dimuktamadkan agar tidak membebankan rakyat. Borang yang diedarkan sebelum ini tidak terpakai,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada pengguna media sosial, @norazambudin berhubung perkara itu.

Semalam, Amirudin menjelaskan tatacara permohonan bantuan akan diumumkan Isnin depan dan proses tersebut sedang dimuktamad.

Kerajaan Negeri pada Isnin lalu mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Selain pemulihan infrastruktur, beliau berkata peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Amirudin menjelaskan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.