GOMBAK, 30 DIS: Proses pembersihan kawasan banjir di negeri ini dijangka mencapai 90 peratus menjelang minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini secara keseluruhannya proses pembersihan kawasan banjir mencapai 40 peratus dan Kerajaan Negeri sedang pergiat operasi dengan lebih agresif.
“Di Sri Muda sebanyak 90 lori roro (Roll On Roll Off) dan jengkaut diletakkan untuk mengangkut sampah. Jumlah ini lebih tiga kali ganda berbanding lima hari lalu yang hanya ada 35 lori sahaja.
“Selain itu, pembersihan di Bukit Lanchong dan Kampung Tengah dan Kampung Sri Aman semakin baik serta tinggal 25 peratus sahaja,”katanya ditemui selepas penyerahan bantuan Selangor Bangkit di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak hari ini.

Tambah Amirudin, proses pembersihan kini menumpukan Bukit Changgang dan Labohan Dagang kerana kawasan ini antara terakhir surut.
“Kerajaan Negeri juga meningkatkan jumlah kutipan sampah pukal mangsa banjir dan domestik bermula semalam.
“Keseluruhan kita angkat sampah banjir 3,000 tan dan sampah domestik yang masih diteruskan pula sebanyak 7,000 tan. Kita sudah tingkatkan 10,000 tan setiap hari mulai semalam,” katanya.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini dilanda banjir.
