Categories
PBT SELANGOR

Pupuk minat membaca, MBSJ wujud perpustakaan mini di pangsapuri angkat

SUBANG, 29 DIS: Lebih banyak perpustakaan mini dan sudut bacaan akan diwujudkan di pangsapuri angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata pihaknya bersedia membantu ahli majlis dan jawatankuasa penduduk untuk menjayakan inisiatif berkenaan yang setakat ini dibangunkan di beberapa penempatan antaranya Pangsapuri Sri Mutiara, Sri Tanjung dan Angsana.

Menurutnya, Perpustakaan Hipermedia MBSJ boleh membantu menyediakan bahan bacaan selain memohon sumbangan daripada syarikat swasta.

“Setakat ini semua kemudahan disediakan penduduk sama ada menggunakan kayu pallet untuk buat meja dan kerusi serta sumbangan pihak luar, malah ada sedia komputer.

“Kita hendak melihat inisiatif dan inovasi dari penduduk kerana sekiranya datang daripada mereka ada perasaan sayang kemudahan berbanding jika majlis sedia semua,” katanya pada mesyuarat penuh MBSJ di sini hari ini.

Berhubung perkara berasingan, Noraini berkata kedudukan kewangan MBSJ masih berada pada tahap kukuh walaupun sasaran kutipan hasil pada tahun ini yang berjumlah RM260 juta seolah-olah sukar untuk dicapai atas beberapa faktor.

Jelasnya, kekurangan itu dapat ditampung kerana MBSJ mempunyai rizab kewangan baik.