Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pusat sehenti, khidmat ke rumah mudahkan mangsa bah dapat bantuan (VIDEO)

SHAH ALAM, 29 DIS: Pelbagai mekanisme disediakan Kerajaan Negeri untuk mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia meliputi penubuhan pusat sehenti di pusat penempatan sementara (PPS) mulai hari ini yang mengumpul data mangsa.

“Kita gunakan senarai nama yang disahkan dan didaftar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pengurus PPS, mangsa tidak perlu sediakan dokumen tambahan.

“Lokasi pusat sehenti ditetapkan pejabat daerah dan tanah (PDT) khusus buat mangsa yang berpindah dari PPS,” katanya dalam keratan video yang dikongsi di Twitter.

Bagi pendaftaran dan penyerahan bantuan dari rumah ke rumah, Amirudin menjelaskan ia dibuat secara berperingkat mulai 3 Januari depan.

Beliau memaklumkan lokaliti akan ditetapkan PDT dibantu oleh pejabat parlimen, pusat khidmat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis, ketua kampung dan Team Selangor.

“Mangsa juga boleh mendaftar dalam talian melalui telefon dan laman web rasmi yang akan diumumkan. Kaedah ini bermula setelah pendaftaran manual selesai bagi mengelak pertindihan data,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mangsa yang kekal di rumah semasa banjir perlu mengemukakan beberapa dokumen untuk memohon bantuan seperti kad pengenalan, lesen memandu atau pasport.

Amirudin menambah mereka juga perlu mendapatkan pengesahan oleh ketua kampung, penghulu, ahli majlis atau ketua persatuan penduduk atau yang setara.

“Tidak perlu gambar atau laporan polis untuk pendaftaran. Semoga ikhtiar ini diberkati dan Kerajaan Negeri akan terus memantau dan maklumkan bantuan yang perlu dari semasa ke semasa,” katanya lagi.