Categories
AGENSI SELANGOR

Raja Muda berkenan terima sumbangan RM200,000 bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Yayasan Lau Gek Poh (LGPF) bagi membantu mangsa banjir, semalam.

Menurut Selangor Royal Office, LGPF akan bekerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) yang dinaungi Tengku Amir Shah untuk membeli barangan keperluan harian, makanan dan peralatan bagi tujuan pembersihan.

Sejak banjir melanda, Raja Muda terlibat secara aktif membantu mangsa antaranya pada Sabtu lalu Baginda berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dan menyampaikan bantuan keperluan asas.

Baginda juga membeli sendiri barang keperluan di pasar raya di sini untuk diedar kepada mangsa banjir di Seksyen 16 di sini dan di Taman Meru Jaya, Klang.

Selain itu Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli menyertai misi bantuan menyelamatkan mangsa banjir di kawasan Kampung Baru Hicom serta menghantar bantuan kepada mangsa di Padang Jawa dan Teluk Panglima Garang, Kuala Langat.