Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rakyat digesa salur maklumat, lancarkan kutipan sampah pascabanjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Penduduk diminta memberi maklumat kepada pihak berkuasa untuk kutipan sisa domestik pascabanjir di kediaman mereka, kata Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.

Rodziah Ismail berkata tindakan itu bagi memastikan kelancaran proses kutipan sampah dan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

“Berdasarkan tinjauan saya semalam ada beberapa tempat banyak sampah sudah mula dikeluarkan dan diurus dengan baik tetapi ada lagi kawasan yang masih tidak dikutip (sampah).

“Justeru, saya memohon penduduk bersabar dan memberi maklumat atau aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) supaya kerja pembersihan berjalan lancar,” katanya kepada SelangorKini.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut berterima kasih kepada PBT luar Shah Alam antaranya Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Selayang yang turun padang membantu pembersihan pascabanjir.

“KDEBWM juga mengurus sampah dengan baik tetapi kita perlu berusaha lagi untuk menambah peralatan kerana rata-rata penduduk sukar untuk melakukan kerja pembersihan kerana kurangnya barang tersebut,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter (mm) mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.